Mengesan Penyakit Dengan Kaedah Iridologi
Iridologi merupakan satu kajian mengenai apa yang tergambar pada iris mata dan pengamatan terhadap sebarang perubahan yang berlaku padanya. Ia merupakan satu kaedah dalam diagnosis dan boleh dijadikan sebagai alat bagi mengawasi keadaan kesihatan seseorang.
Di dalam iridologi terdapat carta iris yang menunjukkan lokasi organ-organ pada tubuh manusia. Teorinya menyatakan iris mata itu pada hakikatnya berhubungan dengan setiap organ dan tisu tubuh menerusi sistem saraf dan otak. Fiber saraf yang kedapatan pada iris akan memberi respons terhadap sebarang perubahan yang berlaku di dalam tubuh dengan cara memanifestasikan fisiologi refleks yang sejajar dengan lokasi dan perubahan tisu tertentu.
Menerusi kaca pembesar dan sebuah lampu khas, seorang iridologis boleh melihat dan mentafsir tentang kedudukan kesihatan seseorang, juga menunjukkan di mana terdapat kekuatan dan kelemahan organ-organ dan tisu tubuh. Contohnya, bagi seorang yang mana diagnos pada irisnya menunjukkan ada tanda yang disebut sebagai ‘Sodium ring’ atau cincin sodium (juga calcium ring atau salt ring).
Ini menunjukkan proses penimbunan atau pengerasan sedang berlaku di dalam sirkulasi apabila campuran kalsium atau kolesterol mendap pada dinding salur darah utama dan kecil. Sekiranya mendapan ini bertambah, tentulah jantung mesti bekerja lebih keras demi mempastikan sistem berfungsi. Kesannya pesakit tersebut mudah mendapat kekejangan, keletihan dan sakit-sakit pada bahagian tertentu tubuh bilamana dia bergerak. Alamat seperti di atas menunjukkan sesuatu harus dilakukan ke atas sistem salur darah sebelum simptom yang lebih serius berlaku.
Iridologi telah lama diamalkan di negara-negara Barat dan merupakan alternatif yang berkesan untuk mengenal pasti punca masalah kesihatan dan mengetahui tahap kesihatan organ-organ dalaman yang menyebabkan punca pelbagai penyakit. Bapa Iridologi adalah Dr Ignatz von Peczely, yang mulanya membuat kajian dan pemerhatian ke atas burung hantu.